Dhia ditemukan selamat di Sri Rampai
Kuala Lumpur: Kanak-kanak perempuan, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar, 12, yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu, ditemukan dalam keadaan selamat di Sri Rampai di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kanak-kanak itu ditemukan oleh orang awam kira-kira 2 pagi tadi.
Sebelum ini, kita mendapat maklumat yang menyatakan kanak-kanak itu berada di sekitar Sri Rampai.
"Susulan maklumat itu, kita dibantu penduduk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) melakukan pencarian di kawasan berkenaan kira-kira 1 pagi tadi.
"Kami kemudian dihubungi ibu mangsa memaklumkan ada orang awam yang membuat pencarian menemukan kanak-kanak berkenaan yang merayau bersendirian di lokasi terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Noor Dellhan berkata, kanak-kanak itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian dan apa yang berlaku sepanjang kehilangan kanak-kanak terbabit," katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis merakam keterangan lima individu berhubung kehilangan Siti Dhia Batrisyia yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu.
Noor Dellhan dipetik berkata, lima individu terbabit terdiri daripada rakan dan ahli keluarga kanak-kanak itu.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai Siti Dhia Batrisyia yang dilaporkan hilang selepas gagal dikesan sejak Selasa lalu.
Ibunya, Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili, 41, berkata, kali terakhir dia bersama anaknya itu adalah di kediaman mereka di sekitar Pudu di sini, kira-kira 4 petang.

Comments
Post a Comment